Anggota PGA dinaikkan pangkat Sarjan

Negeri Sembilan : Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju menaikkan pangkat Koperal Baharuddin Ramli dan Koperal Norihan A/L Tari yang menjadi mangsa insiden berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup kepada sarjan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, dua anggota yang bertugas di Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) itu menerima kenaikan pangkat secara anumerta.

Beliau berkata, PDRM juga telah mencadangkan nama dua anggota PGA itu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan bagi anugerah pingat keberanian sebagai menghargai jasa mereka.

“Saya telah berbincang dengan pengarah-pengarah jabatan (dalam PDRM) dan kami bersetuju menaikkan pangkat mendiang dan Norihan secara anumerta  di atas keberanian  dan pengorbanan luar biasa mereka.

“Saya juga telah mencadangkan kepada Perdana Menteri agar mendiang dan Koperal Norihan dipertimbangkan penghargaan tinggi dalam bentuk pingat,” katanya selepas  pengebumian mendiang Baharuddin yang berlangsung penuh istiadat kepolisan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Orang Asli, Kampung Sungai Sampo, Bandar Sri Jempol dekat sini.

Selain itu Abdul Hamid juga berkata, pihaknya telah menyalurkan sumbangan insurans berkelompok, Koperasi Polis Diraja Malaysia, Tabung Amanah Perwira Briged Utara, Batalion 3 dan Tabung Kebajikan Bukit Aman kepada keluarga mendiang.

Dalam insiden berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis pada 2.30 pagi semalam, Baharuddin, 54, terkorban manakala rakan setugasnya, Norihan, 39, cedera dan masih dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Jasad Baharuddin selamat disemadikan pada 12.20 tengah hari dengan dihadiri keluarga, penduduk kampung serta pegawai dan anggota polis.

 

 

ZA137 Malay News

National Desk

Leave a Comment