Adam Adli (kanan) menghadiri sesi townhall bersama belia seluruh negeri sempena Program Kembara Orang Muda pada Jumaat.
KOTA BHARU – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak campur tangan dalam kemelut yang melanda bola sepak tempatan termasuk isu pembayaran gaji pemain membabitkan kelab dalam Liga Malaysia.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata, walaupun bimbang dengan situasi itu, namun pihaknya berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan kelab terlibat dapat menyelesaikannya dengan baik.
Menurut beliau, KBS secara keseluruhannya tetap mengharapkan pembangunan sukan bola sepak di negara ini.
“Pada masa sama kita turut mengadakan perbincangan dari masa ke masa bersama FAM sebagai sokongan terhadap sukan bola sepak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi townhall bersama belia seluruh negeri sempena Program Kembara Orang Muda di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun Adam Adli menjelaskan, pihaknya tidak ‘selesa’ dengan masalah berkenaan dan berharap dapat diselesaikan dengan penuh tanggungjawab.
“Adakah kita rasa selesa?… Tidak. Kita maklum masalah itu berlaku dan kita harap boleh dapat penyelesaian antara mereka yang terlibat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan pemain tengah Kuala Lumpur (KL) City, Josue mendakwa sudah tujuh bulan tidak dibayar gaji.
Pemain kelahiran Brazil itu dikatakan sudah lupa kali terakhir menerima bayaran dan meneruskan kehidupan dengan wang simpanannya.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Giorgio Pompili Rossi turut dilaporkan memaklumkan isu kewangan dan tunggakan gaji perlu kajian secara terperinci sebelum langkah terbaik dapat dilaksanakan termasuk mengadakan perbincangan bersama kelab.