am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Kebocoran paip gas di Tapak Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh, Kemaman, Sabtu lalu, tidak menjejaskan pembinaan projek berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan sudah menerima laporan kebocoran paip gas itu namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan punca kejadian.
Katanya, Petronas Gas Berhad (PGB) juga sedang melakukan kerja pembaikan termasuk menutup dua injap utama serta kerja pengosongan gas.
“Insiden itu hanya membabitkan kebocoran saluran paip gas dan tidak meletup seperti kejadian di Putra Heights pada April lalu.
“Kerajaan belum menerima laporan punca kebocoran paip gas, tetapi pelbagai agensi kerajaan termasuk Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) sedang melakukan siasatan,” katanya yang ditemui selepas Majlis Perasmian Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST) yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pasar Payang, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat.
Loke turut memberi jaminan insiden kebocoran paip gas tidak akan menjejaskan pelaksanaan projek ECRL di Terengganu.
“Secara keseluruhan projek itu sudah siap sebanyak 87 peratus,” katanya mengulas kemajuan projek ECRL.
© New Straits Times Press (M) Bhd
