Kedah FA kekal rekod tanpa kalah, tewaskan KDA FC

Kedah FA kekal rekod tanpa kalah, tewaskan KDA FC

sukan@hmetro.com.my

Alor Setar: Skuad Kedah FA mengekalkan rekod tanpa kalahnya apabila menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0 pada saingan Liga A1 Semi Pro di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Pungutan tiga mata ini adalah kemenangan keempat yang dicatatkan skuad bimbingan Victor Andrag selepas menewaskan Manjung City 2-0 pada 27 September, Malaysian University 1-0 pada 29 Ogos dan Perak FA (1-0) pada 4 Ogos lalu selain tiga keputusan seri yang dicatatkan sebelum ini.

KDA FC pula terpaksa menelan kepahitan apabila aksi ini adalah kekalahan kali keenam selepas hanya mencatat satu kemenangan ke atas Machan FC pada 8 Ogos lalu.

Pada aksi menarik antara ‘adik’ dan ‘abang’ ini KDA FC memilki peluang di awal babak permainan melalui penyerangnya Syarul Aiman yang melakukan rembatan jarak jauh namun diselamatkan oleh penjaga gol Kedah FA, Rajendran Veloo.

Kedah FA pula dilihat lebih banyak memiliki peluang dengan percubaan oleh penyerang Azeez Adam, Aiman Afif dan Abubakar Yakubu namun gagal diterjemahkan dengan sebarang jaringan pembukaan.

Gol yang dinantikan penyokong Kedah FA akhirnya muncul di hujung babak pertama melalui Azeez yang menanduk bola masuk menewaskan penjaga gawang KDA FC, Wan Mohamad Syazmin selepas seakan sudut kali keempat dilakukan.

Babak kedua menyaksikan KDA FC cuba untuk bangkit menyamakan kedudukan melalui percubaan Syarul Aiman namun sekali lagi penjaga gol Kedah FA berjaya menepis bola keluar.

Pemain tengah Kedah FA Asnan Ahmad dan Azeez pula masing-masing terlepas beberapa peluang keemasan dengan percubaan yang diselamatkan oleh penjaga gawang KDA FC dan juga tersasar di tepi tiang gol KDA FC.

Keputusan 1-0 itu berlarutan hingga ke hujung babak kedua dengan menyaksikan Kedah FA tetap berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dan pulang dengan tiga mata penuh pada malam ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top