Kedudukan UMNO, BN dalam kerajaan Pulau Pinang dibincang 8 Ogos

Kedudukan UMNO, BN dalam kerajaan Pulau Pinang dibincang 8 Ogos

GEORGE TOWN : Kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang susulan perkembangan politik semasa dijangka dibincangkan pada mesyuarat Pakatan Harapan (PH) negeri, 8 Ogos ini.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini, belum ada sebarang perbincangan rasmi mengenai sama ada UMNO dan BN akan terus kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri atau sebaliknya.

“Mesyuarat tersebut ditetapkan bagi tujuan menerima laporan daripada jawatankuasa kecil yang ditubuhkan sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Semalam, saya telah pun umumkan mengenai mesyuarat pada 8 Ogos itu dan mungkin kita akan bincangkan juga mengenai kedudukan UMNO atau BN di Pulau Pinang pada mesyuarat yang sama,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Untuk rekod, ketika ini, terdapat seorang wakil UMNO dan BN dalam barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) iaitu Datuk Rashidi Zinol yang memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan negeri.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, PH tidak akan menggunakan politik bersifat perkauman atau berasaskan identiti dalam usaha mengekalkan pentadbiran di Pulau Pinang, sebaliknya, akan terus berusaha mendapatkan sokongan rakyat menerusi rekod prestasi serta agenda pembangunan yang inklusif.

Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan prinsip perjuangan gabungan tersebut yang memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat serta pembangunan negeri tanpa mengira kaum dan agama.

Menurut beliau, PH juga akan terus menampilkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri sebagai sandaran utama bagi meraih semula mandat rakyat dalam pilihan raya akan datang.

“Bagi PH di Pulau Pinang khususnya, kita akan meneruskan dengan agenda pembangunan negeri kerana selama ini pun, kita adalah sebuah kerajaan yang inklusif, memberi kebajikan serta membangunkan negeri untuk semua rakyat,” ujar beliau.-UTUSAN

Scroll to Top