Kehadiran kami bukan untuk 'mematikan' mana-mana pihak -ANA The Rayhan

Kehadiran kami bukan untuk 'mematikan' mana-mana pihak -ANA The Rayhan

SUNGAI BULOH: Berdepan kecaman sejak kembali menyertai industri nasyid menerusi nama ANA The Rayhan, tiga bekas anggota kumpulan Raihan memilih untuk tidak memanjangkan polemik, sebaliknya mahu menumpukan perhatian kepada usaha menyemarakkan semula irama nasyid tanah air.

Anggota ANA The Rayhan, Afad, mengakui kritikan yang diterima, khususnya berhubung penggunaan nama kumpulan yang dikatakan hampir serupa dengan Raihan, sedikit sebanyak mengganggu emosi mereka pada peringkat awal kemunculan semula.

Bagaimanapun, Afad atau nama sebenarnya, Afad Abdul Rahman, berkata mereka memilih untuk melihat reaksi masyarakat dari sudut positif dan menjadikannya sebagai penguat semangat untuk terus berkarya.

ANA The Rayhan yang ditubuhkan kira-kira lapan bulan lalu diterajui tiga bekas anggota Raihan, iaitu Nazrey Johani, Amran Ibrahim dan Afad, yang kembali bergabung selepas membawa haluan masing-masing untuk tempoh agak lama.

“Apabila bersatu semula, memang kami berdepan dengan perkara ini, kecaman demi kecaman dan pujian demi pujian.

“Namun, kami berpegang pada prinsip bahawa pujian itu bukan milik kami, sebaliknya milik Allah. Jadi, kejian itu mudah-mudahan menjadi doa yang baik dan penguat semangat buat kami.

“Walaupun pada awalnya perkara itu sedikit sebanyak mengganggu perasaan, bohonglah kalau saya kata ia tidak mengganggu,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan Konsert The Rayhan: Syukur 2026 di My Studio, di sini, hari ini.

Afad berkata, sokongan keluarga, khususnya isteri dan anak-anak, menjadi sumber kekuatan buat mereka untuk menghadapi pelbagai reaksi, termasuk komen negatif susulan kemunculan semula kumpulan itu.

Katanya, mereka tidak berniat untuk memanjangkan polemik berkenaan, namun merasakan penjelasan perlu diberikan bagi mengelakkan salah faham dan fitnah berterusan.

“Nasib baik kami mempunyai keluarga yang baik, termasuk isteri, anak-anak dan ahli keluarga yang sentiasa menjadi tempat kami berbincang.

“Sebenarnya, kami juga tidak mahu bercerita terlalu banyak. Namun, realiti yang berlaku perlu dikongsikan supaya orang mendapat maklumat yang lebih tepat.

“Kami tidak mahu perkara ini menjadi fitnah yang tidak baik. Jadi, kami rasa sudah memberikan ruang untuk menjelaskan perkara sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Afad menegaskan, kemunculan semula mereka bukan bertujuan menenggelamkan kumpulan atau penggiat seni lain, sebaliknya mahu menyumbang kepada perkembangan industri nasyid menerusi karya yang membawa mesej positif.

Katanya, mereka mahu mengembalikan kecintaan masyarakat terhadap muzik nasyid, selain menjadikan genre itu sebagai wadah untuk menyemai nilai kasih sayang dan keharmonian sesama manusia.

“Kami mahu menyemai semula kecintaan dan kasih sayang sesama manusia menerusi lagu-lagu nasyid yang membawa mesej positif. Jadi, itulah yang mahu kami fokuskan.

“Kepada sahabat di luar sana yang mengeluarkan pelbagai kenyataan di media sosial, saya tahu itu hak mereka. Bagi diri saya sendiri, saya memaafkan mereka.

“Kehadiran kami ini bukan untuk ‘mematikan’ mana-mana pihak, sebaliknya mahu menghidupkan suasana yang lebih baik dan harmoni, insya-Allah,” katanya.

Mewakili ANA The Rayhan, Afad turut memohon maaf sekiranya kenyataan atau cara penyampaian mereka sebelum ini menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pihak tertentu.

Katanya, perbezaan nada ketika menyampaikan sesuatu pandangan mungkin menimbulkan tanggapan kurang menyenangkan, namun mereka tidak berniat untuk mengeruhkan keadaan.

“Andainya ada kata-kata saya yang mungkin kurang menyenangkan, kami memohon maaf.

“Dalam menyampaikan sesuatu, ada kalanya nada kami tegang, ada waktunya lembut dan ada waktunya kedengaran keras. Jadi, kami memohon maaf sekiranya cara penyampaian itu kurang baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ANA The Rayhan bakal mengadakan persembahan berskala besar buat julung kali menerusi Konsert The Rayhan: Syukur 2026 di Megastar Arena Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Konsert anjuran Bintang Batu Event bersama Magnificent G Ventures itu dijangka menampilkan lebih 20 karya malar segar kumpulan berkenaan, selain kemunculan penyanyi popular era 1980-an, Herman Tino dan penyanyi Indonesia, Opick sebagai artis undangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top