asmaini@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kesemua 21 calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melafazkan baiah kepada Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, petang tadi.
Acara ikrar janji taat setia itu dilakukan selepas majlis penyerahan watikah kepada calon BN bagi PRN Melaka yang diadakan di Menara Dato Onn di ibu negara.
Berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Facebook, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kesemua 21 calon berkenaan turut menandatangani empat dokumen aku janji bersumpah dan perjanjian dengan parti.
Selain Ahmad Zahid dan Asyraf Wajdi, acara lafaz baiah itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan serta Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
PRN Melaka kali ini menyaksikan BN mempertaruhkan lapan muka baharu daripada keseluruhan 21 calon yang akan bertanding.
Lapan calon baharu berkenaan ialah Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid di Lendu, Ahmad Norazril Abd Aziz (Rembia), S Nadarajah (Gadek), Datuk Dr Mustafa Musa (Durian Tunggal), Siti Aisyah Mahmood (Pengkalan Batu), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (Ayer Molek), Datuk Azman Abdullah (Serkam) dan Jezlee Pit (Sungai Rambai).
Sementara itu, Ab Rauf kekal sebagai calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, manakala penyandang DUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; DUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira Abu Zahar; dan DUN Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh turut dikekalkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




