Kelantan Tersingkir daripada Piala Malaysia 2020

Manjung: The Red Warriors (TRW) ditunjukkan jalan keluar oleh UiTM FC pada peringkat pusingan ke 16 dalam saingan Piala Malaysia 2020 di Stadium Manjung semalam.

UiTM FC membolosi gawang Kelantan seawal minit ke-13 menerusi tandukan Arif Anwar setelah menerima hantaran daripada pemain tengah Lubnan, Rabih Ataya.

Kemudian, pasukan universiti itu hanya memerlukan dua minit sahaja untuk mengukuhkan lagi pendahuluan mereka apabila Gustavo dos Santos yang mengelak terjahan pemain Kelantan, Azwan Aripin berjaya menghantarkan bola kepada Rafie Yaacob untuk disudahkan bagi kedudukan separuh masa pertama berakhir dengan 2-0.

Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah pastinya merupakan individu penting yang menyemarakkan semangat para pemain di bilik persalinan kerana pada babak kedua Kelantan tampil dengan lebih garang.

Hasilnya, TRW berjaya menyamakan kedudukan dengan jaringan yang dijelmakan pada minit ke-61 dan ke-63 menerusi Danial Ashraf Abdullah.

Walau bagaimanapun, UiTM FC tetap tenang dan kembali memimpin perlawanan pada minit ke-67 apabila Arif dengan sepakan guntingnya yang cantik berjaya menewaskan lagi penjaga gol Kelantan.

Selepas itu, kedua-dua pasukan terus mengasak untuk mencari gol tetapi gagal menemui penyudah dan keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan yang menyaksikan Kelantan tersingkir daripada saingan Piala Malaysia musim ini.

Di peringkat suku akhir, UiTM FC akan bertemu Pulau Pinang yang mengetepikan cabaran Felda United 3-1 kelmarin.

Akmal Hakim
Sports Desk

Scroll to Top