Kelantan United tambah derita Perak II – Utusan Digital

IPOH: Perak FC II masih gagal mencari kemenangan pertama selepas enam perlawanan berturut-turut selepas dibelasah 4-0 oleh Kelantan United dalam aksi Liga Perdana di Stadium Perak sebentar tadi.

Anak-anak buah Nazrulerwan Makmor tidak berdepan masalah untuk menjinakkan pasukan tuan rumah yang hanya membariskan tenaga pemain tempatan.

Ini berikutan pemain import yang menjadi sandaran Syamsul Mohd. Saad, Sergio Aguero membawa cabaran skuad Liga Super yang akan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini.

Begitupun perlawanan yang berlangsung dalam suasana persaingan sihat selama 75 minit tercemar apabila berlaku percakaran antara pemain berikutan tindakan Muhammad Asraff Alifuddin Yasin menumbuk Adam Nadzmi Zamri.

Tindakan pantas pegawai perlawanan bagaimanapun berjaya mengelak insiden menjadi lebih buruk berikutan berlaku tolak menolak antara pemain.

Berikutan itu pengadil, Mohd. Sarif Tahir melayangkan kad merah kepada Asraff menyaksikan Kelantan United meneruskan baki saingan dengan 10 pemain.

Bagaimanapun keadaan itu tidak menjejas persembahan pelawat yang berjaya mempertahankan kedudukan selesa dinikmati mereka.

Pada perlawanan tersebut, tiga jaringan dalam tempoh 13 minit cukup untuk menceritakan penguasaan pelawat bermula tindakan Mohd. Azwari Ibrahim meletak Kelantan di hadapan pada minlt kelapan.

Sepuluh minit kemudian, Alfusainey Gassama menghukum tuan rumah apabila memanfaatkan peluang dari sepakan sudut pada minit ke-18.

Pemain import itu sekali lagi menemui sentuhan pemusnahnya tiga minit kemudian.

Bagaimanapun pemain itu turut menjadi petualang dengan mengutip kad merah kerana bergaduh dengan rakan sepasukan di minit akhir perlawanan.

Mohamad Qayyum Marjoni meledak gol keempat Kelantan untuk melengkapkan kemenangan pelawat. – UTUSAN