Kemajuan AI mesti berteraskan etika, nilai kemanusiaan – PM

Kemajuan AI mesti berteraskan etika, nilai kemanusiaan – PM
Kemajuan AI mesti berteraskan etika, nilai kemanusiaan – PM

Anwar ketika menyampaikan syarahan khas bertajuk Nilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesin di Universiti Tokyo pada Selasa. Foto Bernama

TOKYO – [DIKEMAS KINI] Pembangunan kecerdasan buatan (AI) mesti berpaksikan etika, nilai kemanusiaan dan pemahaman mendalam masyarakat bagi memastikan kemajuan teknologi kekal inklusif serta mampan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, AI tidak seharusnya dilihat semata-mata suatu bidang khusus, sebaliknya sebagai faktor merentas disiplin yang mempengaruhi ekonomi, teknologi dan hampir setiap bidang ilmu.

“Masa depan terletak pada penguasaan ilmu pelbagai disiplin yang berteraskan etika dan nilai kemanusiaan,” katanya ketika menyampaikan syarahan khas bertajuk Nilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesin di Universiti Tokyo di sini pada Selasa.

Anwar berkata, agenda pembangunan Malaysia di bawah kerangka Madani memberi penekanan yang kukuh kepada nilai murni dan kemajuan yang berfokuskan insan dalam menghadapi perkembangan teknologi yang pesat.

Beliau turut menegaskan bahawa masa depan akan dikuasai oleh mereka yang mampu menggabungkan kemajuan teknologi dengan kefahaman mendalam mengenai masyarakat serta nilai-nilai kemanusiaan.

Perdana Menteri berkata, AI perlu berfungsi untuk memenuhi keperluan pembangunan sebenar, termasuk menambah baik perkhidmatan awam, meningkatkan produktiviti serta menyokong sektor utama seperti pendidikan, kesihatan, pertanian dan kejuruteraan.

Beliau berkata, AI juga boleh membantu menangani cabaran struktur seperti masyarakat menua, namun perkara itu memerlukan pengukuhan kapasiti negara dalam pembangunan bakat, infrastruktur dan tadbir urus data bagi memastikan penggunaan teknologi yang bertanggungjawab.

“Keutamaan yang lebih baik ialah keupayaan untuk menentukan di mana AI harus digunakan, di mana ia perlu dihadkan dan di mana pertimbangan manusia mesti kekal diutamakan,” katanya.

Anwar menegaskan AI tidak mempunyai matlamat yang ditetapkan sejak awal, tetapi terbentuk melalui keputusan manusia berasaskan undang-undang, institusi dan tanggungjawab moral.

Walaupun Malaysia menerima sepenuhnya kemajuan teknologi, beliau berkata AI mesti berkhidmat kepada manusia dan memperkukuh nilai kemanusiaan, bukannya melemahkannya, dengan masyarakat mengekalkan nilai seperti kesedaran, tanggungjawab, integriti dan keprihatinan. – Bernama

 

 

Scroll to Top