Kembar dua remaja maut bertembung van

Kembar dua remaja maut bertembung van

KUALA SELANGOR – Hasrat kembar dua beradik untuk ke tempat kerja berakhir dengan kemalangan maut dalam nahas dua kenderaan di Jalan Rizab Derahman, Jeram, di sini, hari ini.

Kedua-dua remaja yang berusia 18 tahun itu menemui ajal dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi ketika dalam perjalanan dari kediaman mereka di Jalan Bukit Kuching, Jeram ke Bandar Puncak Alam, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, nahas itu membabitkan dua kenderaan iaitu motosikal Yamaha Y16 dan van Nissan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati nahas berlaku apabila penunggang motosikal cuba memotong van tersebut di laluannya.

“Namun disebabkan van itu membelok ke kanan, motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa kemudian melanggar bucu kanan kenderaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Tambahnya, pelanggaran itu menyebabkan motosikal terbabit hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh di atas jalan raya.

Jelasnya, kedua-dua remaja itu yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mereka dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, ” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Scroll to Top