Kempen Tabung Pahlawan catat kutipan RM3.5 juta

Kempen Tabung Pahlawan catat kutipan RM3.5 juta

KUALA LUMPUR: Kutipan dana bagi Kempen Tabung Pahlawan 2025/2026 telah mencecah dengan jumlah keseluruhan RM3.5 juta setakat ini.

Penaung Kempen Tabung Pahlawan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, penyelarasan pengagihan kewangan tetap perlu dilaksanakan dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup pada masa kini.

Katanya, sumbangan yang berterusan daripada pelbagai pihak juga diperlukan bagi menyokong keperluan penjagaan kesihatan dan kebajikan golongan veteran yang semakin bertambah seiring dengan peningkatan usia mereka.

“Kita perlu melakukan penyelarasan yang sewajarnya dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat. Perkara yang paling penting adalah untuk memastikan bantuan tersebut sejajar dengan keperluan semasa.

“Kita juga memerlukan sumbangan yang berterusan kerana golongan veteran ini memerlukan keprihatinan yang tinggi apabila usia mereka semakin lanjut,” katanya semasa sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelancaran My Warrior Run (MWR) 2026 Sempena Kempen Tabung Pahlawan 2025/2026 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, masyarakat perlu tidak bersikap alpa serta sentiasa menghargai pengorbanan anggota keselamatan yang telah mencurahkan bakti dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.

“Kita tidak seharusnya lupa bahawa mereka yang menjaga keamanan negara inilah yang sewajarnya diberikan penghargaan. Janganlah kita mengambil mudah akan pengorbanan mereka sewaktu kita menikmati keselesaan pada hari ini.

“Kita harus bersama-sama mendoakan kesejahteraan mereka sama ada sewaktu mereka masih berkhidmat mahupun setelah mereka bersara dan bergelar veteran,” tambahnya.

Program MWR 2026 yang berlangsung di Dataran DBKL hari ini berjaya menghimpunkan lebih 3,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam satu acara larian amal.-UTUSAN

Scroll to Top