Pelakon, pelawak dan pengacara, Didie Alias menjelaskan, tindakannya meninggalkan komen sebelum ini terhadap keputusan perlantikan pelakon popular, Anna Jobling sebagai juri dalam program lawak bukanlah kerana dia berasa iri hati atau dengki.
Menurut Didie atau lebih mesra dengan panggilan Mummy, dia tidak mempunyai sebarang masalah apabila pelakon itu dilantik menjadi juri dek kerana memahami tujuan pihak produksi dalam meraih rating yang tinggi selain untuk tujuan komersial.
Bagaimanapun, dia sekadar meluahkan pendapatnya apabila sebagai seorang yang pernah memenangi anugerah Artis Lawak Wanita Popular di Anugerah Lawak yang dianjurkan oleh stesen televisyen berbayar, ‘tempat duduk’ itu langsung tidak pernah ditawarkan kepadanya.
“Adakah saya bagitahu dia yang dia sebenarnya tak layak? Tak ada kan.. Saya tinggalkan komen sebagai seorang penonton atau netizen. Walaupun ramai yang kata aku dengki, sebenarnya aku tak dengki.
“Untuk letakkan dia (Anna) sebagai seorang juri, saya tak ada masalah. That’s commercial. Tapi, apa guna kami ni, artis komedi dan pernah dianugerahkan oleh stesen itu tapi tidak pernah berada di kerusi itu.
“Tak salah rasanya kalau letakkan otai dalam bidang ni. Kita ada Harith Iskander, Apek… dan kenapa tak letak satu otai perempuan? Mana otai perempuan semuanya? Sedangkan kita ada Raja Azura, Sheila Rusly, Nur Khiriah, Sharifah Shahirah dan Rosnah Mat Aris dan banyak lagi.
“Mereka-mereka semua ni ada ilmu, kenapa tak letakkan mereka di dalam itu. Lagipun ini dah masuk musim keempat. Mereka tahu nak berikan komen dan baiki persembahan peserta,” katanya.

Didie berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui XTRA ketika ditemui pada sidang media pengumuman Malam Kemuncak Anugerah Bintang Popular (ABPBH) ke-36 baru-baru ini.
Tetap tegas dengan pendirian, pemilik nama sebenar, Fadzilah Mohd Ali, 52, mengaku terpaksa berbuat demikian kerana mahu memartabatkan pelawak-pelawak wanita yang sedia ada dalam industri.
“Saya kena lantang menyaurakan hal ini sebagai seorang netizen yang mewakili pelawak wanita. Sebab tak kan nak meminta-minta atau call pihak produksi,” jelasnya.
Terdahulu, isu ini hangat menjadi perbualan selepas pelakon senior ini meluahkan rasa kurang senangnya menerusi komen yang ditinggalkan di platform media sosial.
Bagaimanapun, Anna yangs edar dengan kontroversi tersebut menganggap perkara itu sebagai satu rezeki dan peluang untuknya mencuba sesuatu yang baru dalam kerjaya seninya.




