Kenapa saya pilih TFC? – Akhyar

Kenapa saya pilih TFC? – Akhyar

KUALA LUMPUR – Teka-teki Akhyar Rashid menyertai Terengganu FC (TFC) kini sudah terjawab selepas pemain ini menandantangani kontrak bersama kelab itu untuk tempoh semusim sebagai pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dia yang berusia 25 tahun dilihat sebagai calon pemain sayap tepat untuk menggantikan tempat yang ditinggalkan pemain import TFC musim lepas iaitu Sony Norde.

Pemain yang mempunyai kelajuan dan teknik kawalan bola yang cukup baik ini berjaya menarik minat pengendali pasukan iaitu Tomislav Steinbruckner untuk meletakkannya dalam senarai pemain yang dimahukannya dalam skuad musim 2024/2025.

Akhyar yang bakal menyarung jersi bernombor 33 merupakan salah seorang pemain skuad kebangsaan yang telah mempamerkan aksi yang cukup meyakinkan dalam kempen saingan Piala Asia baru-baru ini.

Untuk rekod bersama skuad negara, dia pernah bersama Malaysia bawah-17, Malaysia bawah-19, Malaysia bawah-23 dan kini bersama skuad senior Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan Gon.

“Pasukan ini berjaya menjadi pencabar kejuaraan yang sangat kuat pada musim lepas di bawah kendalian Tomislav Steinbcruckner.

“Apabila mendapat tahu Tomislav berminat untuk menandatanganinya dan Terengganu FC begitu serius untuk mendapatkan khidmatnya, saya tidak berselindung menyatakan yang rasa sangat teruja,” katanya kepada Facebook TFC di sini hari ini.

Bagaimanapun Akhyar yang berasal Alor Setar, Kedah ini turut menyedari persaingan dalam pasukan itu dalam merebut tempat juga sengit.

Namun baginya, dia sudah terbiasa dengan perkara tersebut kerana persaingan untuk mendapatkan tempat di pasukan lamanya iaitu JDT sudah terbukti cukup hebat.

“Apa yang penting baginya, saya akan cuba memberikan yang terbaik dalam latihan dan juga perlawanan untuk menunjukkan kualiti yang ada pada diri saya selain misi untuk membantu Terengganu FC memburu kejuaraan musim ini,” katanya.

Selain Akhyar, kelab Pantai Timur itu turut menyambar seorang lagi penyerang kebangsaan iaitu Safawi Rasid menjadi milik skuad Penyu dalam mengharungi kancah Liga M musim ini yang baka bermula Mei nanti.

Safawi turut diikat selama setahun secara pinjaman. – MalaysiaGazette