Kendali Program Kesihatan, Dr. Nisa Nabila Angkat Isu Obesiti ke Layar TV Menerusi ‘My Body My Life’

Kendali Program Kesihatan, Dr. Nisa Nabila Angkat Isu Obesiti ke Layar TV Menerusi ‘My Body My Life’

Nama Dr. Nisa Nabila, 30, mungkin sudah dikenali dalam bidang perubatan, namun kini wajahnya juga mula muncul di kaca televisyen sebagai pengacara program kesihatan.

Berbekalkan latar belakang sebagai doktor di Pusat Perubatan Cengild, dia tampil membawakan program My Body My Life yang memberi fokus kepada isu obesiti dan komplikasi yang sering dikaitkan dengannya.

Minat mendalam terhadap bidang pengurusan berat badan, perubatan bariatrik, kesihatan metabolik dan kesejahteraan gaya hidup menjadi antara sebab Dr. Nisa menerima cabaran baharu ini.

Program tersebut dirancang untuk membuka mata masyarakat tentang obesiti, satu topik yang sering dianggap biasa, tetapi hakikatnya penuh dengan cabaran kesihatan.

Menurut Dr. Nisa, beralih daripada suasana klinik ke dunia pengacaraan bukanlah satu perkara mudah. Namun dia berpegang pada pendekatan sama seperti ketika melayan pesakit.

“Dari klinik ke studio memang terasa beza, seolah-olah daripada ruang kecil ke hadapan ribuan penonton. Tapi misi saya tetap sama, iaitu membantu orang ramai faham isu kesihatan tanpa rasa takut.

“Saya pilih gaya santai, gunakan bahasa harian, bercerita dan bergurau supaya mesej mudah sampai. Paling penting, saya kekal jadi diri sendiri, sebagaimana saya melayan pesakit saya. Nasihat yang baik bukan saja untuk minda, tapi mesti juga sampai ke hati,” katanya.

Bagi Dr. Nisa, rakaman 13 episod program ini memberinya peluang mendengar kisah pesakit dari sudut yang lebih menyentuh emosi. Antara semua topik yang dibincangkan, ada satu yang paling meninggalkan kesan.

“Banyak cerita yang memberi inspirasi sepanjang penggambaran, tapi episod yang paling menyentuh saya adalah tentang masalah ketidaksuburan. Dalam bidang saya, kami kerap bertemu pesakit obesiti yang perlukan pembedahan.

“Ramai tak sedar obesiti ada kaitan rapat dengan isu ini. Saya sering melihat pasangan yang penat berusaha bertahun-tahun untuk dapatkan anak, tapi hal sebenar ialah berat badan menjadi penghalang utama,” jelasnya.

Sementara itu, penerbit My Body My Life, Sherry Sidek, berkata setiap episod disusun teliti agar maklumat bukan sahaja tepat, malah mudah difahami.

“Setiap minggu kami bawakan isu berlainan berkaitan obesiti. Bukan sekadar bercerita tentang masalah, kami juga beri panduan praktikal. Kisah pesakit sebenar dipaparkan supaya penonton rasa dekat, selain pakar turut berkongsi penerangan yang jelas dan boleh dipercayai. Matlamat kami ialah bantu orang ramai bukan hanya sedar, tetapi tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

My Body My Life mahu mendidik masyarakat bahawa obesiti bukan sekadar angka pada penimbang, tetapi keadaan perubatan yang membawa pelbagai risiko. Program ini mendalami isu kesihatan yang sering diabaikan dan memberi panduan untuk kehidupan lebih baik.

Program tersebut bersiaran setiap Ahad, jam 6.30 petang bermula 5 Oktober menerusi saluran TVS 122 MYTV, unifi TV dan Astro.

Scroll to Top