Ameera Khan tampil beri penjelasan selepas dikecam netizen

Ameera Khan tampil beri penjelasan selepas dikecam netizen

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pempengaruh Ameera Khan tampil memberi penjelasan selepas lama mendiamkan diri berhubung tuduhan kononnya tidak peka terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Adik kepada usahawan dan pengacara popular, Neelofa itu sebelum ini dikritik hebat di media sosial apabila warganet mendakwa dia bangga menayangkan produk dikaitkan dengan Israel serta enggan menyuarakan solidariti terhadap Gaza.

Menjelaskan perkara itu menerusi hantaran di Instagram, Ameera berkata, sikap berdiam dirinya selama ini bukan bermakna tidak prihatin terhadap nasib rakyat Palestin.

“Ketahuilah, berdiam bukan tanda berkecuali. Apa jua yang saya hasilkan dalam pekerjaan tidak pernah mencerminkan pendirian saya terhadap isu kemanusiaan. Ia tidak mengubah kepercayaan saya dan kepada siapa saya berpihak,” tulisnya.

Gadis berusia 24 tahun itu turut meminta masyarakat agar tidak mengaitkan komitmen kerja dengan sikap tidak peduli terhadap isu kemanusiaan.

“Komitmen kerja saya tidak sepatutnya disalah anggap sebagai sikap tidak ambil peduli. Keyakinan dan nilai kemanusiaan saya sentiasa bersama Palestin,” katanya.

Ameera menambah, sama seperti orang lain, dia juga berdoa agar dapat melakukan lebih banyak perkara untuk membantu perjuangan rakyat Palestin.

“Buat masa ini, saya terus berdoa untuk semua di atas Sumud Flotilla, untuk Palestin, kebebasan mereka, maruah mereka dan hak mereka untuk hidup dalam keamanan. Free Palestine. Always,” tulisnya lagi.

Kenyataan itu hadir selepas warganet bertindak mengecam dan menyahikutnya kerana menyifatkan Ameera tidak sensitif terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza serta tidak pernah memuat naik sebarang hantaran berkaitan isu berkenaan di media sosialnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top