Hantaran terkini penyanyi Zizi Kirana di Instagram Stories selepas tiga hari ditahan tentera Isr**l akhirnya memberi kelegaan besar buat peminat yang menunggu perkembangan dirinya.
Dalam perkongsian itu, Zizi memuat naik gambar dirinya mengenakan niqab dengan kapsyen ringkas, “Alhamdulillah”, sekali gus memberi gambaran bahawa keadaannya kini selamat.

Zizi atau nama penuh Nur Fazelah Mad Tahil sebelum ini ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menuju Gaza, Palestin.
Sejak dibebaskan, Zizi kembali aktif di media sosial dengan membuat ulang siar beberapa hantaran yang mendoakan serta memberikan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Difahamkan, kapal Huga yang dinaiki Zizi bersama 22 sukarelawan Malaysia dipintas tentera Zionis ketika memasuki Zon Merah di Laut Mediterranean dalam perjalanan menghantar bantuan ke Gaza.
Sebelum ditahan, Zizi dilaporkan sempat membuang telefon bimbitnya ke laut bagi mengelakkan maklumat sensitif jatuh ke tangan tentera Zionis.
Ketika ini, Zizi bersama semua sukarelawan Malaysia berada di Istanbul, Turkiye, untuk menjalani pemeriksaan kesihatan serta menerima sokongan psikologi sebelum dibawa pulang ke tanah air dalam waktu terdekat.




