“Saya ingin menyatakan terdapat bukti wujud desakan daripada pihak ketiga untuk saya ceraikan Nora”.
Kemelut rumah tangga penyanyi, Datuk Nora Ariffin semakin panas apabila suaminya mendedahkan wujud bukti berupa desakan dan suruhan dari isteri pertamanya dan anaknya, Alia Rushdi untuk menceraikan penyanyi itu.
Memetik laporan Harian Metro menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya (UM), Dr Rushdi Ramli mengklasifikasikan kenyataan yang dikeluarkan isteri pertamanya, Rose Aliza Sutrisno baru-baru ini sebagai fitnah.
“Kenyataan berkenaan tidak benar dan mendatangkan fitnah besar kepada saya sebagai suami dan Nora sebagai isteri kedua.
“Saya tidak ingin membuat sebarang kenyataan lanjut mengenai isu ini pada awalnya, tetapi demi membersihkan nama, saya menafikan sepenuhnya kenyataan dibuat oleh Rose sekaligus, mengaku wujud desakan dari pihak isteri pertama saya untuk menceraikan Nora.
“Bagaimanapun, kemudiannya saya rujuk semula,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:Madu Nora Ariffin Akhirnya Bongkar Perkara Sebenar, Nafi Jadi Punca Perceraian
ARTIKEL BERKAITAN:Usaha Berdamai dengan Anak Tiri Gagal, Nora Ariffin Dakwa Reputasi Terjejas
Tambahnya, sebagai suami dia mahu kemelut rumah tangganya itu dapat diselesaikan dengan baik memandangkan masih menyayangi kedua-dua isterinya itu.
“Saya sangat berharap kemelut isteri-isteri saya dapat diselesaikan secara harmoni demi bulan Ramadan yang mulia ini.
“Saya amat sayang kedua-dua isteri dan keluarga. Saya berharap saya dan isteri-isteri dapat menjalani kehidupan bersama dengan sakinah, mawaddah warahmah hingga ke jannah-Nya.
“Sesungguhnya saya amat menghargai segala kebaikan dan pengorbanan isteri pertama sepanjang hidup bersamanya, selain saya juga menghargai kebaikan isteri kedua,” jelasnya.
Terdahulu, pelantun lagu Desa Tercinta itu mengejutkan ramai pihak apabila berkongsi foto miliknya sedang berada di Mahkamah Rendah Syariah, Hulu Langat.
Katanya, dia mahu memfailkan perceraian terhadap suaminya bukanlah atas kerelaan hati tetapi ingin menunaikan hajat madunya yang mahu kembali bermonogami.
Sumber: Harian Metro




