04 Jun 2026 12:30pm
Masa membaca: 4 minit

Anwar. Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis menegaskan bahawa keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah hak dan atas pertimbangan kerajaan negeri masing-masing.
Bagaimanapun, beliau berkata, keutamaan Kerajaan Persekutuan kini kekal tertumpu kepada pelaksanaan tanggungjawab serta merealisasikan agenda yang ditetapkan sebelum ini.
“Saya memberi tumpuan kepada tugas saya. Masalahnya, ada sesetengah pihak yang tidak memikirkan perkara ini. Kita sepatutnya fokus kepada kerja.
“Pilihan raya negeri tidak seharusnya diadakan atau DUN dibubarkan tanpa keperluan. Itu keputusan mereka. Kami mempunyai keutamaan sendiri dan perlu menumpukan perhatian kepada tanggungjawab kami,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di sini hari ini.
Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada kemungkinan pilihan raya negeri akan menjejaskan tumpuan pentadbiran kerajaan.
Isnin lepas, Johor membubarkan DUN, sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Pada Mei lepas, Anwar menyatakan bahawa beliau akan mempertimbangkan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih awal jika rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan terus bertindak menggugat kestabilan politik di negara ini. – Bernama



