PRU16 Bukan Keutamaan, Kerajaan Fokus Tadbir Negara – Anwar

PRU16 Bukan Keutamaan, Kerajaan Fokus Tadbir Negara – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tidak berada dalam pertimbangan segera kerajaan ketika ini, sebaliknya pentadbirannya kekal memberi tumpuan kepada usaha menyempurnakan tanggungjawab mentadbir negara.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya sama ada Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin lalu.

“Ia adalah keputusan mereka. Kami (kerajaan) mempunyai keutamaan kami. Kami fokus pada kerja kami (mentadbir negara),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Peluncuran Persidangan Peralihan Tenaga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.

Pada Isnin lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN negeri itu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pembubaran itu membuka ruang kepada proses demokrasi di negeri berkenaan, tertakluk kepada penetapan tarikh penamaan calon dan hari pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

KREDIT GAMBAR UTAMA: BERITA HARIAN


Scroll to Top