IPOH: Kerajaan akan membincangkan kemungkinan menambah peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam Belanjawan 2027 bagi membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu bergantung kepada kedudukan ekonomi negara dan telah dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa menilai keupayaan kewangan negara bagi memastikan bantuan dapat diberikan secara bersasar kepada golongan yang memerlukan.
“Bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA, saya ingin maklumkan sekiranya keadaan ekonomi mengizinkan, saya telah bincang semalam petang dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan sama ada kita boleh tambah bantuan SARA.
“Dalam Belanjawan akan datang, saya akan pertimbangkan bagaimana kita boleh tambah peruntukan untuk membantu rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program MADANI Kita Bersama Komuniti Tambun di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, di sini hari ini.
Anwar berkata, kerajaan kekal komited memastikan bantuan sampai kepada rakyat yang memerlukan, terutama ketika berdepan cabaran kos sara hidup.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan terus memperkemas program Jualan Rahmah bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.
“Kita kemaskan Jualan Rahmah. Nanti saya baru umum tambah dan bina perancangan untuk kampung-kampung kita tambah Jualan Rahmah supaya kos lebih rendah,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan meneruskan Program Sentuhan Kasih RELA bagi membantu membaiki kediaman anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang kurang berkemampuan.
Katanya, kerajaan telah meluluskan RM3 juta untuk kebajikan anggota RELA melalui program berkenaan, termasuk bantuan membaik pulih rumah anggota yang daif.
“Tak perlu buat istana, cukup baiki sikit-sikit supaya rumah lebih selesa diduduki,” katanya. – UTUSAN




