Seorang penolong pengurus jualan bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Raeven Goh, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.
Mengikut pertuduhan, Goh didakwa memandu kenderaan elektrik jenis BYD Seal secara melulu sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir di Jalan Kuching menghala ke Segambut pada 10 Oktober lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42(1) akta sama.
Foto: Bernama
Selain itu, dia berdepan pertuduhan gagal memberhentikan kenderaannya selepas kemalangan berkenaan mengikut Seksyen 52(1) akta tersebut. Goh turut menafikan pertuduhan itu dan memohon dibicarakan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM36,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan.
Sebagai syarat tambahan, Goh diperintahkan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah, manakala lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 19 November depan untuk pengurusan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhly Zamry dan Wafi Husain, sementara tertuduh diwakili peguam Kailash Sharma.
Sumber: Free Malaysia Today (Ho Kit Yen)




