Ketua Umno Padang Serai lapor polis akaun TikTok palsu

Ketua Umno Padang Serai lapor polis akaun TikTok palsu

Alor Setar: Ketua Umno Bahagian Padang Serai Datuk Asmadi Abu Talib, membuat laporan polis mendakwa identitinya digunakan dalam dua akaun TikTok palsu bagi tujuan penipuan kewangan.

Timbalan Ketua Polis Kedah Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin yang mengesahkan perkara itu berkata, ahli politik itu membuat laporan, 12 tengah hari semalam.

“Mangsa dimaklumkan kewujudan dua akaun TikTok menggunakan namanya, gambar dan mencipta suara penyamaran dipercayai dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), 10.30 malam, Ahad lalu.

“Dua akaun itu diwujudkan pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan untuk penipuan kewangan. Kandungan yang dimuat naik juga boleh memberi persepsi salah kepada masyarakat,” katanya pada kenyataan, hari ini.

Baderulhisham berkata, mangsa risau akaun itu digunakan untuk memperdaya orang ramai dalam urusan bantuan kewangan kerana sebagai pemimpin politik, penyalahgunaan identiti itu boleh menyebabkan penipuan berlaku.

Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan penipuan dalam talian menjanjikan bantuan kewangan dan tidak mudah terpedaya dengan pujukan serta rayuan melalui video membabitkan ahli politik atau selebriti.-Bernama

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top