Khai Bahar tak pasang bodyguard

Khai Bahar tak pasang bodyguard

PETALING JAYA: Penyanyi, Khai Bahar memberitahu buat masa ini dia tidak menggunakan perkhidmatan pengawal peribadi untuk bergerak ke mana-mana kerana cukup dengan pembantu peribadi yang menemaninya.

Sekiranya menghadiri sebarang acara, penyanyi lagu Bayang ini menyerahkan seratus peratus aspek kawalan keselamatan kepada pihak penganjur yang menguruskan dirinya.

“Kalau hadir ke lokasi acara, penganjur akan jemput kita masuk ke bilik khas yang disediakan. Selalunya memang rasa selamat sebab penganjur sendiri sudah aturkan laluan keluar dan masuk.

“Bukan main belasah sahaja, ada persediaan rapi yang sudah dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Walaupun begitu, penyanyi berasal dari Perlis ini tetap berhati-hati dengan persekitaran sekeliling kerana malang tidak berbau.

“Lepas kejadian Kamal Adli diserang semua orang akan lebih berhati-hati. Kita pun tidak tahu reaksi peminat, risau kalau ada yang terlalu obses dan bertindak di luar kawalan,” katanya.

Khai mengulas insiden yang menimpa pelakon, Kamal Adli selepas dilibas dengan cota besi bertubi-tubi di sebuah ekspo di Singapura, minggu lalu.

Insiden tersebut secara tidak langsung menimbulkan kegusaran dalam kalangan selebriti yang bimbang dengan ancaman keselamatan ketika menghadiri acara melibatkan kehadiran ramai orang.