Sukan Media MSN-SAM beri peluang media jadi ‘atlet’

Sukan Media MSN-SAM beri peluang media jadi ‘atlet’

Hannah (tengah) menyantuni kira-kira 90 pengamal media yang menyertai Karnival Sukan Media MSN-SAM di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu. – Foto MSN

SESUAI dengan peranan melaporkan berita sukan tanah air, pengamal media pada Sabtu diberi berpeluang merasai pengalaman sebagai atlet melalui penganjuran Program Karnival Sukan Media Majlis Sukan Negara (MSN)-Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM) 2023.

Pengamal media daripada pelbagai agensi itu diberi peluang menyertai empat sukan yang dipertandingkan iaitu tarik tali, bola tampar duduk, bola jaring shoot-out dan bola sepak liga penalti.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau optimis program berkenaan mampu mengeratkan hubungan antara badan pentadbir sukan dan pengamal media sukan tanah air.

“Saya harap kerjasama erat antara KBS, MSN dan pengamal media mampu diteruskan, pada minggu lepas kita (KBS) baru sahaja selesai mengadakan dialog bersama editor untuk memastikan pembabitan antara satu sama lain sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Pastinya penglibatan seperti ini mampu elakkan salah faham dan pelbagai isu seperti media tidak menerima maklumat,” katanya.

Terdahulu, Hannah meluangkan masa menyantuni kira-kira 90 pengamal media sukan yang menyertai program diadakan di MSN, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. – Bernama