sariha@bh.com.my
Kaherah: Peluncuran kilang pemasangan tempatan (CKD) Proton Saga di Giza, dekat sini, adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk membawa cara pemikiran baharu dalam kerjasama antara negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha sama itu penting bagi memajukan industri tempatan di kedua-dua negara.
Beliau berkata, keberadaan Malaysia di Mesir menerusi pembukaan kilang Proton Holdings Berhad (Proton) sebagai rakan kongsi yang akan memulakan operasi pada bulan depan juga dibuat berdasarkan kepercayaan dan persahabatan yang dijalin selama ini.
“Pembukaan kilang CKD Proton ini membuktikan komitmen antara dua negara direalisasikan iaitu kita mahu menjadikan Mesir sebagai hab perdagangan bagi rantau Afrika, manakala Malaysia pula menjadi hab mereka bagi Asia Tenggara.
“Kilang ini akan mengeluarkan 16,000 unit Proton Saga bagi tempoh 2024 hingga 2026 dianggarkan bernilai RM570 juta,” katanya dalam sidang media pada hari terakhir lawatan rasminya selama empat hari ke Mesir, hari ini.
Sebelum itu, Perdana Menteri melancarkan pengoperasian kilang pemasangan kereta Proton Holdings Berhad, di sini yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri bagi Pembangunan Industri yang juga Menteri Pengangkutan dan Industri Mesir, Kamel Al-Wazir; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar dan Pengerusi Ezz Elarab Elsewedy Industrial Investments, Hisham Ezz Elarab.
Anwar berkata, Proton bukan hanya setakat syarikat automotif, sebaliknya ia menjadi kebanggaan dan sebahagian daripada identiti Malaysia.
Beliau berkata, usaha sama yang dijalin antara kedua-dua negara ini juga penting bagi memajukan industri tempatan masing-masing.
Sementara itu, Syed Faisal Albar berkata, pihaknya perlu meneroka pasaran baharu bagi memajukan jenama kereta tempatan.
Beliau berkata, dalam perancangan jangka sederhana, pihaknya berhasrat menjadikan Mesir sebagai hab utama Proton di rantau ini, malah pusat pemasangan serantau di Giza ini adalah yang pertama untuk model pandu kiri kereta Proton di luar negara.
“Kami berharap platform ini memberikan potensi untuk Proton berkembang lebih jauh ke negara jiran dengan menjadikan Mesir sebagai hab utama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd