KKM siasat dakwaan gangster kuasai bilik mayat hospital

KKM siasat dakwaan gangster kuasai bilik mayat hospital

am@hmetro.com.my

Kuching: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyiasat dakwaan wujudnya kegiatan gangsterisme yang menguasai bilik mayat di sebuah hospital kerajaan di Sarawak.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Veronica Lugah berkata, KKM tidak pernah berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa atau rasuah dalam perkhidmatan kesihatan awam.

Beliau berkata, pengurusan jenazah di hospital kerajaan adalah di bawah tanggungjawab waris atau keluarga si mati.

“Pihak hospital tidak menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah dan keluarga bebas memilih mana-mana syarikat yang mereka percayai tanpa paksaan atau campur tangan pihak hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan sebuah portal berita dalam talian pada 17 Julai lalu mengenai dakwaan seorang bekas pegawai perubatan tentang kewujudan sindiket yang mengawal bilik mayat di sebuah hospital kerajaan di Sarawak.

Menurut laporan itu, sindiket berkenaan didakwa bertindak sebagai ejen tidak rasmi kepada syarikat-syarikat pengurusan jenazah dan sering hadir sejurus selepas kematian berlaku, malah dalam sesetengah kes, mereka datang sebelum kematian disahkan secara rasmi.

Mengulas lanjut, Dr Veronica berkata, semua kakitangan KKM dilarang sama sekali daripada bertindak sebagai orang tengah dalam urusan berkaitan, selaras dengan garis panduan sedia ada.

“Jika wujud sebarang unsur paksaan, ugutan atau perlakuan gangsterisme laporan polis hendaklah segera dibuat agar tindakan siasatan dapat diambil oleh pihak berkuasa.

“Sebarang pelanggaran terhadap arahan ini boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk menyalurkan sebarang aduan mengenai salah laku anggota kesihatan melalui saluran aduan rasmi yang telah disediakan oleh KKM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top