KL City atasi Sri Pahang di Kuantan

KL City atasi Sri Pahang di Kuantan

bhsukan@bh.com.my

KUANTAN: Kuala Lumpur (KL) City FC mempamer prestasi terbaik untuk mengutip mata penuh apabila menewaskan Sri Pahang FC 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, di sini, malam tadi.

Dua jaringan pada babak kedua selepas terikat tanpa 0-0 pada separuh masa pertama memastikan pelawat membawa pulang tiga mata.

Prestasi cemerlang KL City sudah dapat dijangka malam tadi apabila skuad kendalian Bojan Hodak itu mencemaskan tuan rumah selepas hampir menjaringkan gol pendahuluan menerusi Zhafri Yahya tetapi bola rembatan pemain tengah itu berjaya ditepis Daniel Wafiuddin Sa’dun seawal minit pertama.

Pada minit ke-28, pasukan pelawat sekali memiliki peluang tetapi Romel Morales gagal melakukan penyudah tepat walaupun hanya berhadapan dengan Daniel Wafiuddin. Tuan rumah mula mendapat rentak permainan apabila aksi memasuki minit ke-35 dengan beberapa percubaan ke gawang lawan.

Peluang terbaik skuad Tok Gajah untuk menjaringkan gol ialah daripada pemain tengah, Baqiuddin Shamsudin tetapi cubaannya berjaya diselamatkan Daniel Wafiuddin pada minit ke-36.

Empat minit bersambung babak kedua, gawang tuan rumah akhirnya dibolosi juga hasil jaringan Morales untuk mendahului 1-0. Tersentak jaringan itu, skuad Dollah Salleh kembali mengatur strategi untuk mencari gol penyamaan tetapi dinafikan pertahanan kental KL City.

Sebaliknya, pelawat berjaya menjaringkan gol kedua hasil sentuhan Zhafri yang menerima hantaran daripada K Partiban pada minit ke-70. Selepas itu, tuan rumah berusaha untuk menjaringkan gol tetapi akhirnya akur tewas di laman sendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top