Klana Beach Resort PD nyalakan lilin sempena Earth Hour 2021 – Utusan Digital

PORT DICKSON: Sempena acara Earth Hour 2021, Hotel Klana Beach Resort dekat sini menjalankan program menyalakan lilin sebagai tanda sokongan selain mengamalkan gaya hidup lestari.

Pengurus hotel tersebut, Dzarudin Che Omar berkata, pihaknya pada tahun ini mengadakan program tersebut dalam skala kecil berikutan masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Program ini kami laksanakan dalam skala kecil, bagaimanapun, kami tetap memastikan prosedur operasi standard (SOP) diikuti sepanjang program tanpa lampu ini dilaksanakan.

“Kami mengadakan aktiviti menyalakan lilin serta kuiz astronomi kepada pengunjung yang hadir,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di hotel berkenaan hari ini.

Sementara itu, menurutnya, Klana Beach Resort Port Dickson menerima tempahan penuh bagi hujung minggu ini.

“Pada minggu ini, kami menerima tempahan penuh bagi semua bilik. Seramai 160 pengunjung melibatkan 85 buah bilik habis ditempah,” katanya.

Pihak hotel juga katanya, turut memberi peluang kepada pengunjung menyertai aktiviti mencerap menggunakan peralatan astronomi di Balai Cerap dekat sini. -UTUSAN ONLINE