Kongsi juadah iftar di Korea Selatan

Kongsi juadah iftar di Korea Selatan

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Hobi memasak memberi kelebihan buat Mohd Fikri Mohd Jumat hidup berdikari di perantauan, terutama dalam menyediakan sendiri juadah bersahur dan berbuka setiap hari.

Malah, Mohd Fikri, 32, yang bertugas sebagai jurutera di Korea Selatan sejak 2023, memanfaatkan sebaik mungkin kelebihannya itu untuk berkongsi rezeki dengan rakan sekerja, sekali gus mempromosikan makanan Malaysia di negara terbabit.

Anak kelahiran Tawau, Sabah yang menetap di Osong, kira-kira 45 minit dari Seoul itu berkata, dia gemar memasak sejak di bangku sekolah kerana hobi itu memberikan kepuasan kepada dirinya.

“Saya memang suka masak sejak sekolah, universiti hinggalah ketika bekerja ketika ini.

“Ini peluang untuk saya kongsikan kepada kawan-kawan Korea saya, sekali gus mempromosikan menu Malaysia kepada mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Fikri berkata, seperti kebiasaan, dia akan memasak untuk bersahur dan berbuka sambil bersedekah kepada rakan di pejabatnya.

“Selalunya memang saya akan memasak untuk sahur dan berbuka terutama lauk kegemaran, ikan masin masak asam dengan menggunakan bahan kering yang dibawa dari Malaysia.

“Cuma bahan basah saja saya beli yang halal dan biasanya boleh didapati di kedai dalam talian atau Asia Mart.

“Kalau ada masa lapang, saya akan masak lebih menu Malaysia dan kongsikan dengan kawan pejabat,” katanya.

Menurutnya, dia juga membuat dakwah kecil dengan memberitahu rakan sepejabat mengenai kewajipan umat Islam berpuasa pada Ramadan.

“Selalunya, saya selitkan nota kecil dalam bungkusan juadah yang saya masak, memberitahu sekarang masuk bulan Ramadan.

“Jadi saya akan berpuasa daripada tarikh tertentu sehinggalah ke tarikh akhir. Alhamdulillah, mereka memahami dan sangat menghormati saya berpuasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top