Konsert 4G’s ditunda lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Harapan peminat untuk menyaksikan Konsert 4G’s yang menggabungkan empat penyanyi lelaki popular iaitu Akim, Hazama, Tomok dan Black sekali lagi tidak kesampaian apabila acara itu terpaksa ditangguhkan.

Keputusan itu diambil oleh penganjur iaitu Belbis Sdn Bhd akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur yang disambung sehingga 20 Disember depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Belbis Sdn Bhd, Afandy Alias berkata bahawa syarikat meminta maaf kepada peminat atas penundaan konsert yang seharusnya berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur selama dua malam mulai 11 Disember 2020 itu.

“Kami memohon maaf kepada peminat dan semua pihak yang terbabit dengan konsert itu. Penangguhan ini terpaksa dilakukan berikutan penularan COVID-19 yang belum reda malah mencatat jumlah kes tinggi setiap hari terutama Lembah Klang”, katanya.

“Pihak berkuasa melarang penganjuran acara membabitkan penonton di lokasi atau negeri yang dikenakan PKPB. Justeru, atas faktor keselamatan dan kesihatan peminat, artis, pemuzik serta kru, kami terpaksa menangguhkan Konsert 4G’s,” katanya kepada media BH Online.

Afandy berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; IB dan pelbagai pihak lain sebelum membuat keputusan menundakan lagi acara berkenaan.

Tambahnya, tarikh baharu Konsert 4G’s akan diumumkan kemudian dengan melihat perkembangan semasa.

“Sekali lagi penganjur memohon maaf atas penangguhan ini dan berjanji Konsert 4G’s berlangsung segera apabila situasi kembali stabil. Penganjur memohon mendoakan semoga keadaan segera pulih. Kita juga mendoakan kesihatan dan kesejahteraan semua peminat serta rakyat Malaysia”, katanya lagi.

Sebelum ini, Konsert 4G’s itu pada awalnya sepatut diadakan selama dua malam iaitu mulai 17 April yang lepas. Tetapi, acara itu ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumber: BH

Akmal Hakim
Glamour Desk