Konsert Jom Heboh MPB pemangkin ekonomi rakyat Melaka – Ab Rauf

am@hmetro.com.my

Ayer Keroh: Konsert Jom Heboh yang dibawakan khas oleh Media Prima Berhad (MPB) bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya antara pemangkin kepada pembangunan ekonomi rakyat khususnya usahawan dan peniaga kecil yang mendapat limpahan rezeki daripada kehadiran pengunjung.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran acara berskala besar seperti konsert berkenaan mampu menggerakkan rantaian ekonomi tempatan apabila pengunjung bukan sahaja hadir menonton acara pentas, malah berbelanja di premis makanan, membeli-belah, menginap di hotel dan menggunakan perkhidmatan pengangkutan.

Katanya, keadaan itu secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang kepada usahawan kecil dan pengusaha tempatan meningkatkan pendapatan.

“Mengapa saya buat semua ini? Jawapan saya mudah. Sebab saya sayang rakyat Melaka. Saya mahu setiap kemeriahan yang kita ciptakan membawa limpahan manfaat kembali kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Konsert Jom Heboh sempena Karnival Anak Muda Melaka x Konsert Jom Heboh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh; EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman serta Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian TV Media Prima, Datuk Azhari Muhiddin.

Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada MPB dan TV3 serta warga kerja Jom Heboh kerana membawa kemeriahan ini kembali ke Melaka dan berharap syarikat konglomerat media terbesar itu akan terus memilih negeri itu sebagai antara destinasi utama penganjuran program hiburan berkenaan pada masa hadapan.

Sementara itu, Karnival Anak Muda Melaka yang dianjurkan sejak semalam, berjaya menarik kira-kira 50,000 pengunjung.

Ab Rauf berkata, sepanjang dua hari penganjuran program berkenaan, kerajaan negeri menyediakan pelbagai ruang dan pengisian antaranya e-sukan, AI Showcase, Army Warrior Challenge dan Muay Thai, sehinggalah kepada Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kerjaya, keusahawanan serta sesi Town Hall.

“Mengapa saya menyediakan semua ini? kerana apabila kita bercakap mengenai anak muda, kita tidak boleh hanya bercakap tentang hiburan, sebaliknya mereka memerlukan peluang belajar, bekerja, berniaga, mencipta dan paling penting peluang untuk didengar.

“Sebab itulah Karnival Anak Muda Melaka bukan sekadar tempat untuk kita berkumpul, tetapi inilah pentas anak muda Melaka yang menjadi tempat bakat ditemukan, idea didengarkan dan peluang dibukakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top