UM juara 'ibu segala pingat'

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Universiti Malaya (UM) mengejutkan juara bertahan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) apabila menang 1-0, sekali gus merangkul ‘ibu segala pingat’ pada final acara bola sepak Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 yang berlangsung di UM Arena, hari ini.

UM turut dinobatkan selaku juara Piala Menteri Pendidikan 2026 dan menerima wang tunai berjumlah RM7,000, piala pusingan dan piala iringan sekali gus meraih gelaran berganda dalam satu pertandingan yang sama.

Pada aksi terbabit, UM bermula positif apabila lebih banyak mengasak UiTM dengan peluang terbaik mereka hadir menerusi tandukan Aiyubi Solahuddinizam Muhammad Nasarudin yang menggegar palang pada minit ke-12.

Sementara itu, UiTM turun selaku juara bertahan SUKIPT selama tiga edisi berturut-turut hampir mendapatkan jaringan pembukaan selepas mencipta gerakan berbahaya, namun penjaga gol UM, Aghni Abdul Shukor Abduloh berjaya menafikan beberapa percubaan daripada pasukan lawan.

UM yang lebih banyak menyerap asakan akhirnya mengejutkan UiTM apabila rembatan leret Mohamed Amin Imran Mohamed Akbar menewaskan Azim Nasri Issan pada masa tambahan separuh masa pertama untuk UM mendahului 1-0.

Hasrat UiTM untuk bangkit sedikit terencat selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Wan Muhammad Aqil Hakimi Wan Ahmad Hazmi@Megat Putih dilayangkan kad kuning kedua sekali gus diperintahkan keluar padang hanya empat minit selepas babak kedua bersambung.

Di penghujung separuh masa kedua, pemain gantian UM, Ameer Nur Iman Aminuddin dilayangkan kad kuning kedua sekali gus dilayangkan kad merah, namun itu tidak menjejaskan kedudukan semasa.

Meskipun UiTM cuba bangkit mencari gol penyamaan, UM tetap bertahan sebaik mungkin untuk mengekalkan kedudukan itu sehingga tamat permainan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top