Kontena bawa 24 tan koko ada serangga perosak

Iskandar Puteri: Sebuah kontena yang membawa 24,210 kilogram (kg) koko dari Uganda ditahan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di sini, berikutan dikesan mengandungi serangga perosak, kelmarin.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor, Nur Afifah ARahman berkata, hasil pemeriksaan rutin oleh penguat kuasa mendapati, kontena berkenaan yang membawa koko yang dianggarkan bernilai RM227,213.27 mempunyai serangga perosak pada koko berkenaan.

Katanya, kontena berkenaan ditahan kira-kira 10 pagi kelmarin, untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana mengimport produk pertanian yang dipercayai mempunyai perosak, penyakit atau bahan cemar.

“Kesalahan berkenaan memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, denda maksimum RM150,000 atau dipenjarakan maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Nur Afifah berkata, MAQIS juga turut menahan sebuah kontena yang membawa 16,786 kg sayur segar dari negara China kerana membuat pengisytiharan mengelirukan, pada hari sama.

Katanya, hasil pemeriksaan rutin oleh penguat kuasa MAQIS mendapati kontena berkenaan membawa sayur segar yang dianggarkan bernilai RM45,115.17, namun maklumat pada dokumen sayur segar itu tidak sama dengan label yang terdapat pada sayur segar berkenaan.

“Alamat pengimport tidak sama seperti yang diisytiharkan di dalam permit dan label yang ditampal.

“Kesemua sayur segar itu dirampas untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

“Kesalahan berkenaan boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjara selama maksimum dua tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan ke dua atau yang berikutnya didenda maksimum RM75,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, MAQIS menasihati supaya semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut

peraturan yang ditetapkan supaya kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia.