Pedro Neto jadi buruan Man United

LONDON – Pemain sayap Wolverhampton Wanderers, Pedro Neto kini menjadi buruan Manchester United menjelang perpindahan musim panas akan datang sebagai pilihan kepada dua pemain lain iaitu Jadon Sancho dan Jack Grealish.

Pemain berusia 21 tahun itu menampilkan aksi luar biasa bersama Wolves dengan merekodkan lima gol dan lima bantuan jaringan walaupun kelab tersebut berdepan dengan prestasi yang suram pada musim ini.

Menurut beberapa media melaporkan, United bersedia untuk membida pemain Portugal itu dengan harga £50 juta dan nilai tersebut ternyata jauh lebih murah berbanding £110 juta yang diminta oleh Borussia Dortmund untuk Sancho.

Neto dibeli oleh Wolves dengan harga £16 juta pada Ogos 2019 dan telah beraksi 77 perlawanan sejak dari itu dengan mengumpul 10 gol serta sembilan bantuan jaringan.

Pada 2016, United sebenarnya berpeluang untuk mendapatkan Neto apabila pemain tersebut hadir ke sesi percubaan di Carrington sewaktu bersama akademi Braga ketika berusia 16 tahun.

Bagaimanapun aksinya tidak cukup meyakinkan untuk diambil menyertai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut dan kini beliau mempunyai klausa pelepasan bernilai £55 juta selepas menandatangani kontrak baharu bersama Wolves pada November tahun lalu.

Pemain tersebut juga telah disenaraikan dalam 20 pemain bawah 20 tahun dengan nilai paling mahal dalam pasaran perpindahan oleh sebuah organisasi bebas yang membuat kajian berdasarkan analisis dan statistik bola sepak.

Sementara itu, Sancho yang juga penyerang muda England itu ketika ini berdepan dengan penurunan prestasi pada musim ini yang turut memberi kesan kepada prestasi keseluruhan Dortmund termasuk pemecatan Lucien Favre dari jawatan pengurus kelab Jerman tersebut.

Dortmund yang kini dibimbing oleh pengurus sementara Edin Terzic menduduki tangga kelima Bundesliga.

Pencapaian tersebut langsung tidak menepati jangkaan pelbagai pihak yang meramal kelab tersebut adalah salah satu pasukan yang mampu mencabar dominasi Bayern Munich di peringkat domestik. – MalaysiaGazette