MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh optimis kontinjen Malaysia di Sukan Para Asia Hangzhou 2022 mampu melepasi sasaran 35 pingat yang ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).
Beliau berkata, ia berdasarkan prestasi semasa ditampilkan kem negara yang kini meraih keseluruhan 16 pingat, termasuk empat emas walaupun baru sahaja dua hari temasya sukan berkenaan membuka tirai sejak Ahad.
“Hari ini hari kedua selepas pembukaan dan setiap hari saya dapat update, banyak pingat sudah masuk (diraih). Saya yakin kita akan melepasi sasaran MPM dan MSN.
“Tahniah untuk mereka yang telah berikan emas, terima kasih atas prestasi cemerlang mereka,” katanya selepas majlis pelancaran Kejohanan Boling Kebangsaan Malaysia ke-45 dan Kejohanan Boling Antara Negeri ke-34, pada Selasa.



