lokman.khairi@hmetro.com.my
Sepang: Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza dijangka tiba di perairan wilayah itu pada jam 6 petang waktu Malaysia, esok (2 Oktober 2025) sekiranya tiada halangan dari Israel.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, flotila itu telah berjaya melepasi Zon Merah 3 yang jaraknya hanya 100 batu nautika dari Gaza pada 9.20 malam tadi.
“Kita 24 jam sentiasa berhubung dengan mereka sekiranya apa-apa berlaku, setakat ini masih ada 44 kapal GSF dan kita juga akan cuba sedaya upaya memberi sokongan moral kepada pihak di atas kapal.
“Bagaimanapun, mereka ini dalam fasa-fasa latihan, fasa-fasa membuat persediaan dan kita tak benarkan mereka untuk banyak berkomunikasi dengan dunia luar kerana mungkin itu akan memberi sedikit sebanyak gangguan.
“Jadi kita doakan ini adalah fasa-fasa (penting) yang insya-Allah berakhir dengan kemenangan,” katanya ketika kemas kini SNCC di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Central Warehouse, di sini, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
