Seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret hari ini selepas dipercayai membantu seorang suspek kes bunuh meloloskan diri di Gombak bulan lalu.
Kes berprofil tinggi ini mengejutkan ramai apabila ia melibatkan anggota beruniform sendiri.
Memetik laporan Buletin TV3, tertuduh, Mohd Syhrulazlan Mohd Safri bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.
Didakwa tak tangkap suspek ketika ada peluang

Mengikut kertas pertuduhan, anggota berpangkat koperal itu didakwa dengan sengaja membantu suspek, Mohd Hafeez Ali untuk melarikan diri walaupun mengetahui lelaki itu terlibat dalam kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kejadian tersebut berlaku pada 29 Jun lalu kira-kira jam 12.15 tengah malam di sebuah taman permainan berhampiran kondominium di Gombak.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 221(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Tertuduh dibenarkan diikatjamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.
Sebutan semula kes akan berlangsung pada 10 September ini.
Suspek utama didakwa bunuh lelaki 38 tahun

Dalam prosiding sama, Mohd Hafeez turut didakwa atas tuduhan membunuh seorang lelaki bernama Muhammad Umar Abdul Jalil di sebuah premis berhampiran kondominium sama pada 28 Jun lalu jam 11.45 malam.
Selain suspek utama, rakannya iaitu Noor Azzly Hisham Sabtu turut didakwa kerana membuang pisau yang digunakan untuk menikam si mati.
Perbuatan ini dipercayai dengan niat untuk melindungi Mohd Hafeez daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Tertuduh bernama N Jayashanthan juga didakwa sengaja melindungi Mohd Hafeez daripada dikenakan tindakan undang-undang di tempat dan waktu sama.
Pssttt! Kes ini amat memalukan institusi kepolisan apabila individu yang sepatutnya menjaga keselamatan awam didakwa bersubahat dengan suspek kes bunuh. Kita berharap siasatan dijalankan dengan telus dan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya di mahkamah.
Kredit: Buletin TV3
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Dapatkan kemaskini harian Oh! Media setiap hari terus di emel melalui langganan percuma di bawah.
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.




