KPM segerakan pembinaan semula projek sekolah terbengkalai – Radzi Jidin

Selangor: Projek pembinaan sekolah yang terbengkalai seluruh negara akan dikenal pasti untuk membolehkannya segera disiapkan.
Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata, ia perlu disegerakan kerana ia akan menyebabkan kerosakkan dan kerugian berterusan jika dibiarkan begitu sahaja.
Untuk itu pihak kementeriannya akan turun padang untuk mengenal pasti masalah projek dan mengambil langkah segera untuk diselesaikan.
“Projek terbengkalai ini adalah antara tumpuan utama kementerian dan segala masalah birokrasi di bawah pentadbiran KPM atau agensi lain akan dikurangkan bagi membolehkan projek ‘sakit’ ini dapat dipulihkan segera.
“Untuk tahun depan kita akan buat perancangan awal agar pelaksanaannya dapat dijalankan dengan baik menepati jadual ditetapkan. Mekanisme, tatacara yang sama cuma ada perkara yang kita boleh pendekkan tempohnya dengan kerjasama semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra yang terbengkalai dekat sini.
Mengulas mengenai projek pembinaan SK Bandar Saujana Putra dan SMK Bandar Saujana Putra yang terbengkalai sejak 2019 Radzi berkata, tender akan dibuka untuk membolehkan lantikan kontraktor baru menjalankan kerja pembinaan semula.
“Di SK Bandar Saujana Putra berkapasiti 24 bilik darjah dan kerja pembinaan setakat ini dianggarkan kira-kira 55 peratus.
“Manakala SMK Bandar Saujana Putra yang mempunyai 36 bilik darjah hanya tinggal 5 peratus lagi untuk disiapkan. Justeru, kita jangka SMK Bandar Saujana Putra akan siap hujung 2021 manakala SK Bandar Saujana Putra akan menyusul selepas itu,” katanya.
Selain itu, Radzi berkata KPM juga sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan semula SMK Langkon, Kota Marudu di Sabah yang terbengkalai sejak 2016.

ZA137 Malay News
National Desk