Pastikan keselamatan elektrik ketika banjir

Shah Alam: Orang ramai dinasihatkan mengambil berat perihal keselamatan elektrik di kediaman mereka terutamanya menjelang musim tengkujuh untuk mengelak kejadian tidak diingini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam kenyataannya menyarankan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko diminta peka dengan amaran banjir yang dikeluarkan pihak berkuasa dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET).

Beliau berkata, orang ramai disarankan menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) segera sekiranya premis dinaiki air pada paras berbahaya supaya bekalan dapat dihentikan demi keselamatan.

“Saya telah dimaklumkan bahawa apabila banjir surut dan keadaan kembali selamat, bekalan elektrik akan disambung semula oleh TNB. Bersihkan dan periksa dahulu pendawaian dan peralatan elektrik yang ditelenggami air sebelum digunakan bagi memastikan ia benar-benar selamat selepas banjir surut.

“Pastikan fius atau pemutus litar selamat atau gantikan jika perlu dan memastikan soket alir keluar (outlet) yang ditenggelami air berada dalam keadaan kering dan bersih sebelum digunakan,” jelasnya.

Beliau berkata, jika terdapat kerosakan pendawaian pengguna disaran mendapatkan perkhidmatan jurulektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk pemeriksaan pendawaian elektrik ditelenggami air.

Dalam kenyataan yang sama Shamsul Anuar berkata, persiapan awal telah dilakukan TNB di empangan-empangan hidro termasuk mengadakan latihan pengungsian (drill) bersama agensi-agensi kerajaan berkaitan dan penduduk sekitar, selain menurunkan paras tasik (reservoir) ke tahap yang minimum sebagai persediaan menerima aliran masuk (inflow) air hujan yang tinggi.

Selain itu Shamsul Anuar juga mengingatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi perilaku anak-anak agar tidak menghampiri pencawang dan tiang elektrik yang ditelenggami air supaya perkara tidak diingini dapat dielakkan.

 

ZA137 Malay News

National Desk

 

Scroll to Top