SEREMBAN – Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kewajipan untuk mematuhi sebarang arahan atau permintaan yang bercanggah dengan kerangka perlembagaan dan peruntukan undang-undang di bawah institusi berkenaan.
Menurut beliau, sebagai seorang eksekutif DKU, tanggungjawabnya adalah tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 serta prosedur DKU yang telah ditetapkan.
“Oleh yang demikian, saya tidak berkewajipan untuk bertindak atas apa-apa arahan atau permintaan yang tidak konsisten dengan kerangka perlembagaan yang mentadbir DKU.
“Pada setiap masa, saya juga telah bertindak secara sah dan selaras dengan tugas serta tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya sebagai Setiausaha DKU,”katanya.
Beliau berkata demikian menerusi maklum balas terhadap arahan Datuk Mubarak Dohak, Undang Jelebu, Datuk Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Datuk Abdul Rahim Yassin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri serta Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid untuk memanggil sidang Khas DKU.
Jelas beliau lagi, menurut Fasal 16(1) dan Fasal 17 UUTKNS 1959, DKU tidak terbentuk dengan sempurna sebagai suatu badan tanpa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Justeru katanya, apa-apa perubahan untuk memanggil suatu mesyuarat DKU yang bertentangan dengan peruntukan tersebut dan prosedur DKU yang telah ditetapkan adalah tidak berperlembagaan serta tidak sah.
Jelas beliau, di bawah Fasal 25 UUTKNS 1959, Setiausaha DKU dilantik dan memegang jawatan atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Itulah sifat jawatan saya. Saya terikat untuk mematuhi dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang telah diamanahkan sehingga ditentukan sebaliknya oleh Tuanku.
“Apa-apa tindakan yang diniatkan terhadap saya oleh YTM, YAM dan Tuan Haji (Undang Yang Empat) merupakan suatu penghinaan yang bertujuan untuk merampas kuasa-kuasa perlembagaan Tuanku dan tidak mempunyai kesan undang-undang,”katanya.
Tambahan pula ujar beliau, isu tersebut dalam prosiding di mahkamah dan semua pihak sepatutnya tidak bertindak seolah-olah prosiding berkenaan tidak wujud.
Oleh itu Raja Norazli menyifatkan, tindakan oleh semua mereka adalah tidak wajar, tidak berperlembagaan dan menggugat integriti prosiding mahkamah yang sedag berjalan.
“Oleh itu, saya merizabkan hak saya untuk mengambil tindakan Undang-Undang yang perlu terhadap YTM, YAM dan Tuan Haji,” katanya.



