Kementerian Pendidikan Tinggi menegaskan standard dan kualiti kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak boleh dikompromi walaupun kerajaan membuka laluan khas kepada lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC) dan institusi tahfiz.
Tak ada sesiapa boleh campur tangan
Menerusi Sidang Media Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Azlinda Azman, beliau menyatakan semua syarat kemasukan ditetapkan oleh universiti masing-masing melalui penilaian Senat tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak.
“Sebenarnya kita di peringkat universiti telah ada syarat-syarat kita. Kita telah pun menelitinya.
“Sudah tentu di Kementerian Pendidikan Tinggi, khususnya di universiti, Senat merupakan kuasa tertinggi. Macam mana pun Senat universiti yang menentukan kualiti, standard dia.
“Yang itu kita tak boleh compromise (kompromi). Tak ada sesiapa yang boleh campur tangan,” katanya.

Ulas kritikan Dong Zong
Beliau berkata demikian ketika mengulas kritikan Dong Zong yang mendakwa syarat kemasukan ke IPTA masih terlalu ketat.
Menurutnya, setiap universiti mempunyai kriteria dan mekanisme penilaian tersendiri bergantung kepada program yang ditawarkan termasuk syarat khas serta sesi temu duga.

Jelas beliau, senarai lengkap program serta syarat kemasukan akan diumumkan apabila permohonan dibuka secara terus kepada universiti terlibat bermula 30 Jun ini.
Tambahnya, kemasukan calon lepasan UEC dan tahfiz tetap tertakluk kepada prinsip meritokrasi serta syarat asas termasuk kepujian Bahasa Melayu dan lulus Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sehubungan itu, KPT menegaskan pembukaan laluan khas ini hanya bertujuan memberi akses pendidikan tinggi kepada pelajar luar sistem pendidikan kebangsaan tanpa menjejaskan integriti serta standard IPTA.
Dakwa syarat tidak adil
Sebelum ini, Dong Zong menyifatkan syarat kemasukan ke IPTA bagi lepasan SMPC dan UEC sebagai peminggiran yang mengehadkan kebebasan pelajar merancang laluan pendidikan serta bercanggah dengan prinsip peluang adil.
Badan itu turut mendakwa pelaksanaan dasar tersebut masih terikat kepada sistem SPM dan syarat merit tertentu, sekali gus dianggap tidak selari dengan pendekatan inklusif yang diumumkan kerajaan.




