nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Kementerian Kesihatan memaklumkan kadar prevalens penduduk di Kelantan yang menghidap penyakit diabetes dan kolestrol adalah lebih tinggi berbanding paras nasional.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendapati, 16.3 peratus rakyat Kelantan menghidap diabetes atau kencing manis berbanding 15.6 peratus di peringkat nasional.
Katanya, daripada data NHMS 2023 itu turut mendapati mendapati 34.9 peratus penduduk di Kelantan mempunyai kolestrol tinggi berbanding 33.3 peratus di peringkat nasional.
“Bagaimanapun kadar prevalens untuk penyakit darah tinggi dan berat badan berlebihan di Kelantan masing-masing merekodkan 27.9 dan 51.6 peratus iaitu lebih rendah berbanding paras nasional.
“Dapatan daripada NHMS 2023 saya kira amat membimbangkan walaupun Kelantan mencatatkan prestasi yang lebih baik dalam beberapa indikator berbanding paras nasional.
“Mendepani cabaran ini, Kementerian Kesihatan memperkenal dan melaksanakan Agenda
Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sebagai platform untuk menggerakkan pembudayaan gaya hidup sihat secara menyeluruh.
“Inisiatif ini sangat selari dengan agenda reformasi sistem kesihatan negara, peralihan daripada perkhidmatan berfokuskan rawatan kepada sistem yang menumpukan kepada pencegahan dan kesejahteraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Wellness Hub Kelantan di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.
Dr Dzulkefly berkata, di Kelantan, Wellness Hub mula beroperasi pada 2021 dengan hanya sebuah unit kabin kecil.
Namun kini katanya, dengan pembinaan bangunan dua tingkat yang siap sepenuhnya pada 2024, kapasiti sudah meningkat daripada 15 kepada 80 peserta setiap sesi.
“Sejak 2021 hingga 2024, Wellness Hub Kelantan sudah menerima kehadiran lebih 92,000 klien, sama ada secara fizikal mahupun maya, dan ini membuktikan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan ditawarkan.
“Pelbagai perkhidmatan ditawarkan secara percuma, termasuk saringan kesihatan dan kaunseling gaya hidup sihat.
“Transformasi kesihatan memerlukan kerjasama menyeluruh, bukan sahaja daripada KKM, tetapi juga melalui kerjasama semua pihak serta rakyat sendiri. Saya yakin, dengan semangat bersama, Wellness Hub Kelantan akan terus menjadi contoh dan pemangkin kepada pembudayaan hidup sihat di seluruh negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




