Lelaki ditahan ketika cuba lari selepas mahkamah kekalkan hukuman

Lelaki ditahan ketika cuba lari selepas mahkamah kekalkan hukuman

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Polis berjaya menahan semula seorang lelaki yang cuba melarikan diri selepas Mahkamah Tinggi, di sini, menolak rayuan dan mengekalkan hukuman atas kesalahan dadah, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an dalam jaminan mahkamah itu bertindak demikian selepas hukuman penjara 24 bulan dan tiga sebatan terhadapnya dikekalkan.

Katanya, pihak polis terkesan video tular hari ini yang dimuat naik di TikTok mengenai seorang lelaki yang melarikan diri dari Kompleks Mahkamah Kota Bharu.

“Rayuan lelaki itu ditolak dan Hakim Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara 24 bulan dan tiga sebatan kira-kira 11 pagi.

“Ketika orang kena tuduh (OKT) diiring oleh anggota bertugas ke sel lokap, lelaki itu tiba-tiba bertindak melarikan diri, namun berjaya ditangkap dengan segera oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, status banduan yang ditularkan itu adalah tidak benar.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam berkongsi atau memuat naik sebarang kandungan di media sosial yang boleh menggugat kesejahteraan masyarakat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top