Lelaki hilang ketika memukat ditemukan lemas – Utusan Digital

SIPITANG: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang semasa keluar memukat awal pagi tadi ditemukan lemas di Pantai Palakat, petang ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.18 pagi itu, mangsa, Mohd. Iqbal Daud, 43, dilaporkan hilang semasa keluar memukat bersendirian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Janil Jaya berkata, mangsa ditemukan lemas oleh orang awam yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 3.50 petang tadi pada jarak kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kehilangan mangsa disedari oleh beberapa nelayan yang menemukan bot mangsa yang kosong dalam keadaan enjin yang masih hidup.

Justeru, mereka melaporkan perkara itu kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) untuk tindakan lanjut.

Kemudian, sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daerah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan SAR.