Lelaki maut kereta bertembung

Tumpat: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 10, Jalan Tumpat-Pengkalan Kubor berhampiran Kampung Bendang Luas di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, mangsa Mohamad Shahrul Syazwan Mohd .Kham @ Mohd. Nafi, 25 yang bekerja sebagai pemandu di Jabatan Kerja Raya (JKR), Kota Bharu maut di lokasi kejadia selepas mengalami kecederaan parah di seluruh anggota badan.

Bagaimanapun, pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berusia 65 tahun terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di kepala.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab. Rashid Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa memandu sebuah kereta jenis Perodua Kancil sedang dalam perjalanan dari arah Tumpat menghala ke Kota Bharu.

Katanya, Mitsubishi Triton itu pula sedang dalam perjalanan dari arah bertentangan. Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda itu.

“Insiden itu menyebabkan mangsa tersepit di dalam kereta yang dipandunya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. Menurut Ab. Rashid, mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta itu dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu. Tambahnya, polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan tersebut.

Sumber: Cosmo
Malay News
National Desk