Lelaki Myanmar maut motosikal rempuh lori

faris.fuad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan merempuh lori di Kilometer 4, Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK), dari Balakong menghala ibu negara, dekat Kajang, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.25 petang itu, mangsa dikenali Ajmal Khan Mohammad disahkan meninggal dunia akibat parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata hasil siasatan mendapati nahas berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal itu yang mengekori belakang lori di lorong paling kiri.

“Mangsa yang menunggang laju motosikalnya tidak dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum melanggar belakang kanan lori.

“Dia didapati tidak memiliki lesen memandu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Serdang. Bedah siasat dijangka dijalankan selepas mendapat keputusan ujian calitan COVID-19.

Beliau berkata, waris mangsa sudah dimaklumkan untuk hadir ke jabatan berkenaan.

Katanya, kenderaan terbabas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd