Lelaki rugi hampir RM400,000 terperdaya tawaran kerja sambilan dalam talian

Lelaki rugi hampir RM400,000 terperdaya tawaran kerja sambilan dalam talian

am@hmetro.com.my

Miri: Seorang lelaki tempatan berusia awal 50-an rugi RM396,850 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Miri menerima laporan berhubung kes itu, hari ini.

Menurutnya, mangsa mendakwa dihubungi seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Lim menerusi aplikasi pesanan ringkas sebelum ditawarkan peluang menjana pendapatan dengan menguruskan pesanan pembelian pelanggan melalui platform e-dagang dalam talian.

“Mangsa dijanjikan komisen sebanyak 10 peratus bagi setiap transaksi yang berjaya diselesaikan.

“Bagi menyertai skim itu, mangsa dikehendaki membuat bayaran terlebih dahulu bagi setiap pesanan kononnya untuk membolehkan pihak kilang memproses dan menghantar barangan kepada pelanggan.

“Sepanjang tempoh penglibatan, mangsa diarahkan membuat pelbagai bayaran ke beberapa akaun bank berbeza.

“Walaupun keuntungan dipaparkan dalam sistem, mangsa tidak pernah berjaya mengeluarkan sebarang keuntungan kerana sentiasa diminta membuat bayaran tambahan atas pelbagai alasan,” katanya.

Beliau berkata, akibat terpedaya dengan skim berkenaan, mangsa mengalami kerugian RM396,850 yang membabitkan wang simpanan sendiri serta pinjaman daripada ahli keluarga.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top