Yusof Hashim mahu beri yang terbaik pada watak Gusti Adipati

Yusof Hashim mahu beri yang terbaik pada watak Gusti Adipati

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Yusof Hashim mendedahkan kerjaya seninya sebenarnya bermula sebagai penari dan pelakon teater muzikal.

Mengimbau pembabitannya dalam bidang teater kira-kira 10 tahun lalu, Yusof atau nama sebenarnya, Mohd Yusof Hashim, 33, berkata dia sudah terbiasa menghadiri uji bakat dan membuat persembahan di pentas berprestij seperti Istana Budaya (IB).

“Memang saya bermula sebagai penari dan seawal umur 16 tahun. Ketika itu saya sudah mula berlakon dalam pementasan teater muzikal seperti Baik Punya Cilok The Musical, Kita The Musical, Gamat The Musical dan Tun Siti Hasmah The Musical.

“Pada usia 16 tahun itu, saya dah mula memegang watak. Saya dah pergi Istana Budaya, dah pergi macam-macam uji bakat. Jadi, pengalaman dalam pementasan teater muzikal itu memang saya ada,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Yusof mengakui ketiadaan sebarang pementasan teater muzikal sejak beberapa tahun kebelakangan ini sedikit-sebanyak memberi kesan kepada memorinya terhadap bidang terbabit.

Bakal menggalas tanggungjawab besar menerusi watak Gusti Adipati dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM), Yusof tidak menafikan wujud tekanan untuk mengembalikan semula ‘magis’ lakonan pentasnya.

“Terus terang, memandangkan sudah beberapa tahun kita tidak ada (pementasan) muzikal, jadi kita semua akan hilang memori itu. Apatah lagi kali ini saya mendapat watak Gusti Adipati dalam PGLM.

“Tekanan itu bermakna saya kena kumpulkan balik semua pengalaman lama yang ada sejak dari zaman sekolah dulu.

“Tetapi, itu adalah kerja saya, tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya untuk menggunakan sehabis baik apa yang ada. Insya-Allah, saya akan tunjukkan dalam watak Gusti Adipati,” katanya.

Terdahulu, Yusof dipilih untuk memikul watak sebagai Gusti Adipati dalam PGLM tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top