Lelaki serang jiran dengan senjata ketika mabuk ditahan

Lelaki serang jiran dengan senjata ketika mabuk ditahan

harisfadli@hmetro.com.my

Gombak: Seorang lelaki ditahan hari ini selepas disyaki menyerang jirannya menggunakan pemutar skru dan pisau ketika dalam keadaan mabuk di rumah mereka di Kampung Baru Kundang, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada Ahad.

“Semasa kekecohan berlaku, suspek bertindak menyerang keluarga mangsa dengan menggunakan objek senjata tajam.

“Akibat kejadian itu, dua mangsa mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis menahan suspek kira-kira 12 tengah hari tadi dan merampas beberapa barang kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, menurut sumber, kejadian dipercayai berpunca daripada suspek yang dikatakan tidak berpuas hati apabila mendakwa ahli keluarga mangsa membuat laporan polis menuduhnya mencuri kambing.

Difahamkan, mangsa menafikan perkara itu namun suspek yang tinggal bersebelahan rumah bertindak agresif dan berlaku pergelutan antara adik serta anak mangsa yang berada di dalam rumah.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, permohonan reman suspek akan dibuat esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Katanya, pihak polis turut menyiasat insiden itu di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh kediaman mangsa yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan, denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

“​Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Amirul Ashyraf Abu Hassan di talian 019-3491233.

“Maklumat berkaitan juga boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 0361262222,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top